Lawatan Ke Perpustakaan RTM Lawatan Ke Perpustakaan RTM

Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan INSTUN dengan diketuai oleh Puan Norhaidah binti Riboet telah mengadakan lawatan ke Perpustakaan Radio dan TV Malaysia (RTM) pada 26 April 2013 (Jumaat) dengan delegasi seramai 5 orang pegawai dan Kakitangan Seksyen Perpustakaan dan 3 orang Kakitangan dari Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan. Rombongan telah disambut oleh Pustakawan RTM iaitu Puan Suhaida binti  Mohamad, Encik Fandi dan penerbit Rancangan Encik Dicky Halimy. Sesi lawatan telah dimulai dengan lawatan ke Muzium Penyiaran di Wisma TV. Muzium Penyiaran ini adalah tempat mempamerkan bahan-bahan peralatan lama yang digunakan oleh Stesyen Radio dan TV Malaysia seluruh negara. Antara bahan yang dipamerkan adalah kamera lama dan gambar-gambar bekas menteri Penerangan. Muzium Penyiaran telah diletakkan dibawah pengurusan Perpustakaan untuk dijaga dan dikawal selia bagi memastikan peralatan lama yang masih baik keadaannya terpelihara, tidak dilupuskan begitu sahaja dan menjadi koleksi arkib RTM yang tidak ternilai untuk tatapan masyarakat Malaysia sepanjang zaman.

Lawatan diteruskan ke Perpustakaan Berita Radio sambil meninjau konti Radio Nasional FM, Klasik Nasional, KLFM, Selangor FM, TraxxFM, Travel and Music, ai fun dan Minnal FM. Memasuki ruang Perpustakaan ini yang lebih dikenali dengan Rakam Khanah P. Ramlee menyimpan bahan-bahan audio dalam bentuk lp dari tahun 40an dan piring hitam tahun 1950an. Mengikut Penolong Pengarah Rakam Khanah Encik Abd. Hamid Othman terdapat 100,000 unit bahan audio yang disimpan di sini di mana bahan disimpan dalam susunan mengikut syarikat yang menerbitkannya. Apa yang menarik lp dan piring hitam berkenaan telah didigitalkan di mana DJ radio akan memutarkan lagu atau muzik menerusi online dari server. Perpustakaan pula dalam proses memasukkan maklumat bahan ke dalam WebOPAC agar dapat diakses menerusi online tetapi masih mengekalkan keselamatan bahan tidak boleh disalin rakam. Pengguna yang ingin mendapatkan bahan perlu ke Perpustakaan untuk pinjaman.

Lawatan seterusnya adalah ke Perpustakaan Berita Radio. Di sini, rombongan didedahkan dengan bahan-bahan berita dari dahulu hingga kini. Sebagai contoh, pengisytiharan kemerdekaan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ada terdapat di sini. Begitu juga ucapan-ucapan Perdana Menteri Malaysia yang lain. Bahan berita pula disimpan berdasarkan tarikh berita disiarkan.

Dari Perpustakaan Berita Radio, rombongan dibawa ke Perpustakaan Berita TV yang mengandungi 30,000 ke 40,000 koleksi yang disimpan dalam bahan asal berbentuk tape/pita dalam format beta analog dan bahan yang telah dimigrasikan ke bentuk format digital iaitu format DVC Pro. Mengikut penerangan yang diberikan oleh Ketua Bahagian ini, Encik Abd. Rani, bahan-bahan berita yang tersimpan di Perpustakaan ini adalah bahan-bahan berita dari rakaman tahun 2000 hingga sekarang. Ia disimpan mengikut tarikh berita disiarkan dan menggunakan nombor siri dan menggunapakai sistem Win Isis. Perpustakaan ini beroperasi selama 18 jam bagi menyokong siaran berita radio yang siarannya adalah sehingga jam 12 tengah malam.

Perpustakaan Berita TV menyimpan koleksi berita tv berdasarkan liputan yang asal tetapi untuk siaran berita di kaca tv, ia adalah dari koleksi bahan yang telah ditapis dan diedit. Sistem pengurusannya adalah menggunakan sistem ILMU dan pengesanan bahan boleh dibuat menerusi WebOPAC pada kiosk di pintu masuk. Petugas yang bertugas di sini akan membantu Bahagian Siaran Berita. Sebagai contoh bagi berita yang ingin disiarkan pada hari isnin, hari jumaat bahan telah dihantar ke unit siaran. Bahan-bahan ini akan membantu tajuk-tajuk berita yang dibacakan.

Perpustakaan ini juga menyimpan koleksi dalam bentuk rancangan-rancangan tv yang lain seperti rancangan Islam Hadhari. Ia juga menyimpan bahan-bahan lama (arkib) dan koleksi bahan dalam dan luar negara. Bahan disimpan dalam bentuk pita menggunakan kod TX Tapes. Ini kerana pita mudah dijaga dan tidak berhabuk, cuma perlu disimpan di dalam bilik simpanan  dengan suhu di bawah 18 darjah. Pita kecil memuatkan rakaman selama 30 minit manakala pita besar bagi rakaman 60- 90 minit. Bahan-bahan yang terdapat di sini juga dalam proses untuk didigitalkan.

Lawatan yang bermula dari jam 10.45 pagi telah berakhir pada jam 12.30 tengah hari dengan pertukaran cenderahati  kedua-dua agensi. Adalah diharapkan lawatan ini dapat menambahkan maklumat dan pengetahuan mengenai pengurusan Perpustakaan.

Kunjungan ke PBAKL 2013 Kunjungan ke PBAKL 2013

Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2013 kali ke-23 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Perpustakaan telah mengadakan kunjungan dan lawatan ke Pesta Buku berkenaan pada 30 April 2013 dengan mempelawa semua Bahagian di INSTUN menghantar wakil bagi tujuan :-

1.    Membuat pemilihan buku-buku yang relevan bagi kegunaan rujukan dan penyelidikan semua warga kerja INSTUN dan secara tidak langsung adalah untuk penambahan koleksi terkini Perpustakaan INSTUN.

2.    Memberi pendedahan kepada peserta mengenai penerbitan terkini industri buku di Malaysia.

3.   Memberi maklumat sebenar mengenai kaedah perolehan bahan Perpustakaan INSTUN di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

4.    Lawatan ini juga merupakan salah satu aktiviti tahunan perpustakaan dengan kerjasama Puspanita dan Kelab INSTUN sebagai satu kebajikan di mana lawatan berkumpulan ini dapat membantu warga yang berkeinginan namun mempunyai masalah kenderaan untuk ke Pesta Buku Antarabangsa yang julung kali di adakan.

Kunjungan ke PBAKL telah diketuai oleh Puan Norhaidah binti Riboet, Penolong Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dan rombongan dianggar seramai 32 orang. Rombongan bergerak mengikut kumpulan dan membuat kunjungan ke gerai-gerai buku bagi mendapatkan maklumat dan meninjau sendiri buku-buku dan bahan-bahan lain yang boleh dibuat pemilihan untuk pembelian bahan bagi koleksi perpustakaan INSTUN di samping untuk kegunaan sendiri.

PBAKL ke 13 yang bertemakan, Buku : Menjana Pemikiran Kreatif adalah merupakan platform untuk menggalakkan minat membaca di kalangan masyarakat di samping membangunkan industri buku Negara. Lebih 800 pempamer terlibat dengan menawarkan pelbagai produk penerbitan dan bahan bacaan terbaik bagi membantu orang awam memperoleh bahan bacaan berkualiti serta mengembangkan budaya membaca di kalangan warga Malaysia.  Malah, menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohamad Zabidi Zainal semasa merasmikan PBAKL 2013, “Apabila seseorang membaca mereka akan memperluaskan tabiat itu daripada buku kepada jenis bacaan lain seperti e-buku, majalah, akhbar dan gajet". Tambah beliau lagi, "hanya dengan membaca seseorang itu lebih bijak mengasah kemahiran kreatif serta melahirkan bangsa yang mempunyai pengetahuan luas". Oleh itu minat membaca dan mencari ilmu di kalangan penjawat awam sentiasa dititikberatkan sehingga pencapaian kecekapan serta kenaikan pangkat turut mengambilkira sejauh mana ilmu pengetahuan mereka.