Aktiviti Galakan Membaca Aktiviti Galakan Membaca

Minat membaca bermula dari rumah. Peranan ibu bapalah memupuk budaya membaca di kalangan anak-anak. Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana terdedah kepada bahan bacaan sejak dari kecil malah dari dalam kandungan akan membesar dengan minat terhadap bahan-bahan bacaan. Mengambil peluang dari itu, perpustakaan telah menganjurkan aktiviti-aktiviti bagi tujuan berkenaan.

Bagi tahun 2013, Perpustakaan INSTUN telah mengadakan aktiviti pertandingan bercerita untuk kanak-kanak 4 - 6 tahun,  pertandingan musical chair, Pertandingan meniup belon, pertandingan bola beracun  dan permainan merebut gula-gula terbuka kepada kanak-kanak 3 hingga 6 tahun. Aktiviti ini telah dilaksanakan pada 18 April 2013 di Perpustakaan dengan perasmiannya telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah INSTUN iaitu Tuan Mohd Ashraf bin Mohd Noor dengan diiringi oleh Ketua-ketua Bahagian. Aktiviti yang diadakan buat pertama kali bagi tahun 2013 telah menjemput Taska, Tadika dan PASTI yang berdekatan. Sebanyak 2 buah Tadika, 1 PASTI dan 3 Taska telah dijemput untuk menyertai. Walau bagaimanapun hanya tiga yang dapat menyertai iaitu Taska Khalis INSTUN, Taska Umi Eida dan Tadika Matahari. Taska Khalis INTUN telah menghantar seramai 16 orang peserta dengan diiringi dua orang guru pengiring, Taska Umi Eida dengan 10 orang peserta diiringi oleh 3 orang guru pengiring manakala Tadika Matahari diwakili oleh 8 orang peserta dengan diiringi oleh seorang guru pengiring. Di samping itu, penyertaan juga adalah dijemput dari kalangan anak-anak pegawai dan kakitangan INSTUN dan penyertaan adalah menggalakkan dengan seramai 11 orang telah menyertai. Aktiviti telah berlangsung dengan cukup meriah dengan penyertaan dan penglibatan semua peserta bagi aktiviti yang diadakan.

Kecil kecil cili padi; pertandingan bercerita telah berjaya menyerlahkan bakat anak-anak cilik yang berpotensi untuk diketengahkan dan diserlahkan. Pertandingan ini telah berjaya mencungkil bakat bercerita di kalangan anak-anak. Adik Mohammad Alif Ikhwan dari Tadika Matahari telah mengungguli pertandingan ini dengan ceritanya Sang Kancil dengan Buaya. Tempat kedua dimenangi oleh adik Nur Farah Aleya binti Yang Faizal dari Taska Khalis INSTUN dengan cerita Sang Kancil dengan Buaya, manakala tempat ketiga dimenangi oleh adik Allyssa Idrina binti Azizan dari Tadika Matahari dengan tajuk cerita Diri Saya.

Pertandingan musical chair diadakan bagi menggalakkan kemahiran berfikir di kalangan anak-anak. Di dalam permainan ini, kanak-kanak dilatih dengan kebolehan berfikir bagaimana untuk menguasai tempat duduk setelah muzik dimatikan. Ini kerana kanak-kanak yang dapat menduduki kerusi terakhir setelah muzik dihentikan akan menjadi pemenang. Bagi pertandingan ini, tempat pertama juga dimenangi oleh adik Mohammad Aliff Ikhwan dari Tadika Matahari, tempat kedua adik Mohd Qayyim bin Rosdi dari Taska Ummi Eida dan tempat ketiga dimenangi oleh adik Hong Zhi Syuen dari Tadika Matahari.

Pertandingan meniup belon pula menguji kecekalan peserta menamatkan acara sehingga belon pecah. Pertandingan ini telah dimenangi oleh adik Hana Humaira binti Ahmad Feizal Hazrik dari Tadika Matahari, tempat kedua adik Mohd Aliff Ikhwan juga dari Tadika Matahari, manakala tempat ketiga dimenangi oleh adik Nur Afira Amalin binti Khairul dari anak kakitangan INSTUN.

Sebagai aktiviti tambahan, pertandingan bola beracun telah diadakan bagi memeriahkan lagi acara. Seramai 35 orang peserta telah menyertai dan sebanyak 8 hadiah saguhati telah diberikan kepada pemenang tempat pertama hingga ke lapan.

Dengan sambutan yang menggalakkan, pada masa-masa akan datang penyertaan  akan ditambah bagi menambahmeriahkan lagi aktiviti/program yang dianjurkan.

Dasar Galakan Membaca Dasar Galakan Membaca

Dasar Galakan Membaca telah dibuat bagi tujuan pelaksanaan fungsi Perpustakaan Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 (Akta A667) Bahagian II Seksyen 4(2)m iaitu : “menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca".

Ia selaras dengan strategi Dasar Negara bagi Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat mengikut perkara 4.7.5 iaitu : “ untuk menanam dan menggalakkan minat membaca”.

Dasar ini pula menyokong matlamat Dasar Buku Negara iaitu memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti.

Ia juga menyahut cabaran dan menyokong matlamat Wawasan 2020 iaitu untuk melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan bermaklumat berasaskan budaya sains dan teknologi.

 

Skop

Dasar Galakan Membaca merangkumi semua aktiviti perpustakaan yang berhubung kait dengan pembacaan di dalam usaha memupuk minat membaca rakyat Malaysia.

 

Objektif

Dasar Galakan Membaca bertujuan untuk dijadikan garis panduan bagi mencapai objektif

berikut:

? Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca di kalangan masyarakat

? Memupuk minat dan amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia

? Meningkatkan tahap pembacaan rakyat Malaysia

? Menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan cintakan ilmu

? Menjadikan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai pusat perujukan maklumat kebangsaan mengenai pembacaan dan galakan membaca

? Menilai keberkesanan Kempen/Program Membaca Kebangsaan

 

Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia

Kajian Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2010 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berusia 10 - 40 tahun membaca sebanyak 8 - 12 buah buku setahun. Kajian yang sama mendapati mereka yang berumur 10 - 40 tahun membaca sebanyak 8 buah buku setahun dan mereka yang lebih berumur membaca 6 buah buku setahun. Secara amnya angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding purata hanya dua buah buku setahun yang dicatatkan dalam kajian pada tahun 2005.