Aktiviti Perpustakaan Sempena Hari Terbuka INSTUN 2012 Aktiviti Perpustakaan Sempena Hari Terbuka INSTUN 2012

Fungsi tradisi sebuah Perpustakaan adalah untuk menyediakan perkhidmatan rujukan dan penyelidikan kepada pengguna. Walaubagaimana pun Perpustakaan juga merupakan institusi yang bertanggungjawab melahirkan masyarakat yang gemar membaca. Justeru, di samping menyediakan perkhidmatan pinjaman, aktiviti-aktiviti galakan membaca juga diadakan khusus untuk kanak-kanak dan dewasa mengambil bahagian. Inilah Karnival Hari Terbuka INSTUN yang diadakan buat julung kalinya semenjak ia beroperasi sebagai institusi latihan dalam bidang tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat dari tahun 2001. Aktiviti yang diadakan pada 7 Julai 2012 bertujuan untuk menarik perhatian dan minat orang ramai mengunjungi Perpustakaan dan seterusnya menggalakkan budaya membaca. Ia juga sebagai pendedahan Perpustakaan INSTUN kepada masyarakat sekitar. Tanpa pendedahan ini, masyarakat tidak akan mengetahui kemudahan dan prasarana yang terdapat di INSTUN.

 

Aktiviti Kanak-kanak

Galakan membaca dan cintakan ilmu perlu disemai bermula dari dalam keluarga sendiri. Pembacaan yang bermula dari rumah merupakan titik permulaan ke arah cintakan ilmu dan buku. Ibu bapa memainkan peranan sebagai pendorong utama terhadap lahirnya sikap gemar membaca di kalangan kanak-kanak. Sekiranya ibu bapa gemar membaca, tabiat ini akan lebih mudah dipupuk di kalangan kanak-kanak. Justeru, aktiviti galakan membaca perlu dijadikan asas yang kukuh untuk menyemai dan menggalakkan minat membaca di kalangan kanak-kanak. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah bercerita, kraftangan, boneka, melukis dan mewarna.

Bagi tujuan memupuk sifat gemar membaca di kalangan kanak-kanak, Sempena Hari Terbuka INSTUN 2012, pihak Perpustakaan telah mengadakan beberapa aktiviti menarik dengan menjemput kanak-kanak anak warga INSTUN dan daripada tadika berdekatan bagi menyertai aktiviti ini. Aktiviti yang diadakan meliputi pertandingan mewarna, musical chair, pertandingan meniup belon dan berebut gula-gula.  

Aktiviti yang diadakan ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan para peserta dan keluarga serta masyarakat sekitar INSTUN. Mereka amat mengharapkan agar program seumpama ini dilaksanakan lagi pada masa-masa akan datang.

 

Aktiviti Dewasa

Pameran 5 Perdana Menteri

Pameran 5 Perdana Menteri Malaysia telah berlangsung di Perpustakaan INSTUN bermula pada 5 hingga 20 Julai 2012. Pameran yang mempamerkan lima bekas Perdana Menteri Malaysia ini diadakan bertujuan mengingatkan kembali kepada tokoh-tokoh berkenaan yang banyak berjasa kepada negara. Sumbangan mereka amat bermakna dari memperoleh kemerdekaan tanah air hinggalah membawa Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara yang dikenali, disegani dan dihormati di mata dunia.

 

Kuiz Sempena Pameran

Pertandingan kuiz telah diutarakan berpandukan kepada maklumat yang boleh didapati daripada ruang pameran Perpustakaan. Pertandingan kuiz ini telah menarik penyertaan yang agak memberansangkan daripada kakitangan INSTUN. Seramai tiga orang pemenang telah dipilih dan hadiah telah disampaikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan INSTUN Bil. 7/2012 pada 13 September 2012 di Auditorium INSTUN.