Pengurusan Kerja Ukur Tanah NCR Dipuji Pengurusan Kerja Ukur Tanah NCR Dipuji

Kuala Lumpur : 2 Oktober 2013

Laporan Ketua Audit Negara secara keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi pengurusan proses kerja mengukur tanah berstatus Hak Adat Milik Bumiputera (NCR) di Sarawak. Bagaimana pun masih ada beberapa kelemahan dalam pelaksanaan proses itu, termasuk sasaran ukur keliling tanah NCR bagi tempoh 2011 hingga 2012 yang tidak tercapai, selain proses pewartaan yang mengambil masa terlalu lama. Kelemahan lain turut membabitkan perbezaan anggaran keluasan tanah NCR yang dikemukakan dalam perbincangan di 'Bumi Lab' dan keluasan tanah NCR untuk ukur keliling di bawah Program Inisiatif Baru Tanah NCR.

Di bawah Program Inisiatif Baru Tanah NCR, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menyasarkan seluas 1.5 juta hektar tanah NCR di seluruh negeri akan diukur keliling bagi tempoh 2010 hingga 2016. "Bagaimana pun semakan audit mendapati hanya 1,229,625 hektar daripada 1.5 juta hektar tanah NCR dipohon penduduk bagi tujuan ukur keliling. "Setakat akhir 2012, pencapaian ukur keliling bagi tahun semasa adalah 152, 121 hektar (56.3 peratus) berbanding sasaran 270,000 hektar, manakala keluasan tanah terkumpul tanah NCR yang sudah diukur keliling ialah 324,376 hektar (60.1 peratus) berbanding sasaran terkumpul bagi tempoh 2010 hingga 2012 iaitu 540 hektar," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara turut menegur beberapa projek yang gagal disiapkan mengikut jadual di Projek Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu yang juga sebahagian projek mega di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Pada masa sama, kualiti kerja pembinaan juga didapati tidak memuaskan, selain pengurusan perolehan yang kurang teratur dan pembangunan infrastruktur yang belum lengkap sepenuhnya. "Pengauditan dijalankan antara september hingga november 2012 mendapati pada keseluruhannya pengurusan projek Taman Perindustrian Samalaju memuaskan kerana berjaya menarik pelaburan RM21.19 bilion melalui 11 projek yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). "Taman Perindustrian Samalaju juga berjaya mewujudkan sebanyak 11,679 peluang pekerjaan dalam perlbagai industri khusus bagi anak tempatan," katanya.

BERITA HARIAN ; 2 OKTOBER 2013, MS : 13.

  

480 hartanah Bumiputera berpindah milik 480 hartanah Bumiputera berpindah milik

Sidang Dewan Undangan Negeri Melaka

Ayer Keroh : Sebanyak 480 hartanah milik Bumiputera yang dibina atas Tanah Adat Melayu (MCL) bernilai lebih RM28.56 juta dipindah milik kepada bukan Bumiputera sehingga 31 Julai lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron, berkata ia membabitkan jenis hartanah berbentuk rumah kedai bertingkat,banglo, rumah berkembar dan teres.

Katanya, hartanah jenis rumah kedai, termasuk industri satu hingga tiga tingkat membabitkan 165 unit, banglo (53), rumah berkembar satu tingkat dan ke atas (50) dan rumah teres satu hingga tiga tingkat, 212 unit.

"Keseluruhan jumlah jenis hartanah yang dipindah milik dari Bumiputera kepada bukan Bumiputera adalah 480 (hartanah) dengan jumlah (termasuk) levi tujuh peratus RM28,560,289.54," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Zaidi Attan (BN - Serkam) mengenai bilangan pemilik dan status tanah serta premis perniagaan yang diduduki bukan Bumiputera di atas tanah milik MCL, selain bilangan tanah, premis milik kuota Bumiputera berpindah milik kepada bukan Bumiputera.

Menjawab soalan langkah kerajaan negeri dalam memperkasa semula akta pengambilan tanah untuk mengawal milikan Bumiputera, Idris berkata, kerajaan negeri mengguna pakai Akta Pengambilan Tanah 1960 dan ia di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang ketika menjawab soalan tambahan Zaidi berhubung masalah pembahagian nama untuk tanah berkeluasan kecil terutama membabitkan keluasan 0.4 hektar, berkata masalah itu boleh dibantu oleh Perbadanan Tanah Adat Melaka (PERTAM).

Katanya, masalah utama yang dihadapi waris ketika permohonan pembahagian tanah adalah berkaitan keluasan tanah yang kecil, kos menggunakan juruukur bertauliah dan bayaran yang dikenakan Pejabat Tanah dan Daerah.

"Sebenarnya itulah kekangannya, mereka terpaksa membayar satu jumlah wang yang besar dan lebih kecewa apabila mendapati keluasan tanah yang diharap itu lebih kecil daripada disangkakan.

"Kita harap perkara ini dapat dibawa ke peringkat persekutuan supaya satu perbincangan terperinci diadakan, termasuk di peringkat kerajaan negeri bagaimana cara terbaik mengurus dan mentadbir pembahagian tanah pusaka," katanya. 

BERITA HARIAN, 26 NOVEMBER 2013 MS N2