Buku Pilihan 1 Buku Pilihan 1

 

JUDUL                 :   Hibah Dalam Undang-undang Islam : Prinsip dan Amalan.

PENERBIT          :   Johor Bahru : Penerbit UTM Press, 2015.

ISBN                   :    978-983-52-0809-6.

RAK                    :   346.595052 NAS

TAHUN                :   2015

BILANGAN NASKHAH DI PERPUSTAKAAN :   

                         1 NASKHAH

SINOPSIS

Buku ini ditulis oleh Nasrul Hisyam Nor Muhamad yang merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru. Penulisan buku ini adalah atas kesedaran bahawa bahan bacaan mengenai hibah terutamanya buku yang bersifat akademik sangat kurang dalam konteks di Malaysia. Buku ini cuba menggabungkan pendekatan hibah yang berbentuk artikel sama ada diterbitkan di dalam jurnal, majalah dan seumpamanya. Gabungan pendekatan fiqah yang terdapat dalam kitab warisan khazanah dan tulisan ulama semasa dengan situasi dan amalannya di Malaysia menjadikannya sangat menarik.  Kes berkaitan hibah sama ada yang dibicarakan di mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah dijadikan platform perbincangan. Begitu juga dengan pemerhatian terhadap industri yang telah mengaplikasikan prinsip hibah terutamanya industri perancangan harta orang Islam di Malaysia.

Buku ini merangkumi perbincangan hibah dari perspektif undang-undang Islam dan amalannya di Malaysia. Perbincangan buku ini dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu :

Bab 1) Konsep Hibah mengikut Undang-undang   

           Islam

 

Bab 2) Pembentukan Hibah

Bab 3)  Pembatalan Hibah

Bab 4) Jenis Hibah

Bab 5) Hibah di Malaysia

 

Perbahasan berkenaan prinsip hibah yang dibahaskan dalam buku ini adalah merangkumi pendapat fiqah klasik dan moden, peruntukan undang-undang, kes mahkamah dan fatwa semasa. Buku ini sangat sesuai dijadikan sebagai rujukan dan panduan sama ada kepada pelajar di institusi pengajian tinggi, ahli akademik, penggubal dasar, golongan profesional, mahupun pihak yang terlibat dengan industri yang berkaitan hibah. Selain itu, buku ini turut sesuai untuk bacaan dan rujukan masyarakat umum kerana topiknya  turut menyantuni ruang lingkup kehidupan semua umat Islam.

Warga INSTUN boleh mendapatkan koleksi buku ini di Perpustakaan INSTUN

Buku Pilihan 2 Buku Pilihan 2

 

  JUDUL              :      PENGAMBILAN

                                   TANAH :

                                  TEORI DAN AMALAN

PENGARANG     :      ISMAIL OMAR

                                  (PENYUNTING)

PENERBIT           :     PUSTAKA FIRDAUSI

ISBN                     :     978-967-1014-2-3

RAK                      :     333.3209595 PEN

TERBITAN            :     2012

BILANGAN NASKHAH DI PERPUSTAKAAN :   

                          1 NASKHAH

 

SINOPSIS

Pengambilan Tanah : Teori dan Amalan merupakan hasil gabungan idea dan tenaga beberapa ahli akademik dan pengamal profesion pengambilan tanah. Mereka merupakan pensyarah, penilai harta tanah, pentadbir tanah dan juga perunding pengambilan tanah. Hasil penulisan mereka yang merupakan sebahagian daripada projek penulisan akademik telah diolah dan disusun semula menjadi bahan yang dibukukan untuk tatapan umum. Penulisan ini tertumpu kepada prinsip dan amalan terbaik dalam pentadbiran tanah dengan merujuk amalan di dalam dan di luar Negara. Begitu juga dengan punca-punca yang menjurus kepada kelewatan dalam pengambilan tanah. Seterusnya, buku ini juga menyentuh peranan pihak-pihak berkepentingan dan yang terlibat dalam pengambilan tanah seperti penilai dan perunding tanah. Peranan perunding boleh melicinkan proses pengambilan tanah seperti dalam kajian kes di Kuantan, Pahang. Begitu juga dengan sikap pemilik tanah yang dikaji dengan merujuk kepada pampasan tanah untuk projek Bandar Baru yang dijalankan di Bandar Nusa Jaya di Johor. Isu-isu dalam pengambilan tanah disentuh dengan merujuk masalah yang sering timbul dalam pengambilan tanah. Bahagian akhir buku ini merupakan contoh-contoh laporan dan nilaian bagi penentuan pampasan dalam pengambilan tanah untuk maksud pelebaran jalan yang melibatkan tanah sebuah sekolah di Perak dan pengambilan tanah dusun di Muar dan untuk pelebaran sungai di Melaka.

Buku Pilihan 3 Buku Pilihan 3

 

 

JUDUL                 :     99 SPESIES BUAH DI

                                  FRIM

PENGARANG     :     N ZAWIYAH DAN

                                  H OTHAMAN

PENERBIT           :    FRIM

ISBN                    :     978-967-5221-85-9

RAK                     :     634.609595

TERBITAN           :     2012

 

BILANGAN NASKHAH DI PERPUSTAKAAN :   

                          1 NASKHAH

 

SINOPSIS

Buku ini memperihalkan tentang 99 spesies buah yang terdapat di dalam kampus FRIM. Spesies ini merupakan satu aset penting yang perlu dijaga untuk generasi akan datang. Pada masa ini generasi muda tidak lagi mengecam sesetengah pokok buah-buahan jauh sekali untuk menghayatinya sebagai warisan alam semula jadi. Buku ini mengandungi pengenalan mudah mengenai tumbuhan disertakan dengan gambar dan huraian morfologi pokok, taburan dan kaedah pembiakan. Ia boleh dijadikan sebagai satu sumber rujukan penting untuk penyelidikan, bahan pembelajaran dan pendedahan terhadap pelbagai spesies buah. 99 spesies buah-buahan ini bukan sekadar buah yang boleh dimakan malah hampir keseluruhan bahagian pokok seperti daun, akar, batang, biji dan bunganya dapat digunakan terutamanya dalam penjagaan kesihatan, perubatan tradisional dan kecantikanyang menjadi warisan turun temurun pelbagai kaum di Malaysia termasuk masyarakat orang asli.