Pameran Pameran

Dalam usaha memupuk minat orang ramai mengunjungi perpustakaan, salah satu caranya adalah dengan mengadakan aktiviti pameran. Aktiviti ini diadakan berdasarkan tema yang boleh menarik masyarakat untuk melihat dan meninjau gambar-gambar yang dipamerkan. Ia berupa pameran tokoh-tokoh tertentu, budaya, kesenian dan kesusasteraan masyarakat dahulu, sejarah, sosio ekonomi dan pelbagai aspek yang menerjah kesudian masyarakat untuk memperoleh sebanyak mungkin maklumat daripada aktiviti berkenaan.

__________________________________________________

 

Pada 9 hingga 20 September 2013 Perpustakaan INSTUN telah mengadakan Pameran Herba seperti kacip fatimah, lidah buaya, pegaga, misai kucing dan banyak lagi dengan tema "Herba : Warisan Seribu Satu Rahsia". Pameran ini telah diadakan di ruang legar Perpustakaan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada warga INSTUN, peserta kursus tetapi juga pelawat-pelawat luar yang membuat lawatan ke INSTUN termasuklah dari Jabatan Tanah Negara Brunei Darussalam.

Umum mengetahui bahawa tumbuhan herba mempunyai pelbagai kegunaan sama ada sebagai sumber makanan, ubatan, kosmetik dll. Inilah tujuannya pameran ini diadakan bagi mendekatkan masyarakat dengan maklumat kerana ada herba yang dikenali dan ada yang mungkin namanya tidak pernah didengari dan pokoknya tidak pernah diketahui sebelum ini.

Apa yang menjadi tarikan pengunjung adalah pameran ini bukan sahaja memaparkan maklumat-maklumat herba beserta gambar tetapi Perpustakaan mengambil inisiatif mempamerkan beberapa pokok herba untuk masyarakat lebih mengenali dan mendapat maklumat lebih mendalam mengenai tumbuhan/tanaman herba tersebut.Di samping itu buku-buku yang membicarakan mengenai herba juga turut dipamerkan bagi menambahkan maklumat.  

 

Renungan Renungan

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih